SEJARAH SEKOLAH
 
        SEK.MEN.KEB. DANG ANUM  terletak berhampiran dengan bandar Merlimau. Jarak sekolah ini  dari bandar Merlimau kira-kira 1.2 km , menghala ke  bandar Jasin. Sekolah ini telah berusia 33 tahun.

                                                   Di sini bermulanya nama Dang Anum

        Keperluan pendidikan peringkat menengah begitu mendadak di kawasan Jasin Pantai pada awal tahun 60-an. Hasil desakan penduduk tempatan, pada tahun 1963, tertanam cerucuk tanda bermulanya sebuah institusi pendidikan peringkat  menengah di kawasan ini. Setelah siap dibina, pada tahun 1965, lahirlah sebuah sekolah khusus untuk menampung pelajar-pelajar kawasan Jasin Pantai. Sekolah ini dikenali dengan nama Sekolah Menengah XXX atau Sekolah Menengah Lanjutan.

        Nama sekolah ini rupanya tidak kekal lama. Lagenda Dang Anum, anak Sang Rajuna Tapa (Bendahara Temasik) mula dibayangkan oleh pihak pengelola. Lagenda ini mempaparkan kegigihan serta keberanian seorang serikandi menghadapi cabaran dalam usaha mempertahankan hak dan kebenaran. Dengan berdasarkan sifat-sifat serikandi serta fungsinya menyediakan kemudahan asrama khusus untuk pelajar-pelajar puteri, Sekolah Menengah XXX ini kemudiannya dinamakan Sekolah Dang Anum.

        Bemula dengan bilangan tenaga pengajar dan pelajar yang kecil serta diterajui oleh seorang pengetua wanita, Dang Anum memulakan hidupnya menghadapi pelbagai cabaran dalam usahanya memberikan pendidikan kepada anak-anak penduduk tempatan. Dengan berbekalkan semangat gigih serta dedikasi, tenaga pengajarnya mula menggerakkan jentera khidmat dan bakti menanam ilmu pengetahuan dan nilai-nilai kerohanian ke dalam diri setiap anak didik mereka.

        Hari ini, Dang Anum sudah pun mencapai usia melebihi suku abad. Dia masih tetap serikandi. Setelah ditadbirkan enam pengetua, Dang Anum telah berjaya dalam perjuangan di medan pendidikan. Kedewasaan mengajar Dang Anum erti kematangan. Kedewasaan juga menjadikan Dang Anum semakin semerbak harumnya. Seterusnya membolehkan Dang Anum membenihkan ramai teknokrat, usahawan, pentadbir, peguam, doktor, pendidik dan pemimpin masyarakat yang berwibawa. Sekalung doa dan restu untuk mereka yang telah berjaya membajai kedewasaan Dang Anum.

        Semakin dewasa, semakin berkembanglah fizikalnya. Begitulah juga dengan Dang Anum. Pembesaran atau pertambahan bangunan Dang Anum telah dilaksanakan bebrapa peringkat. Kini Dang Anum semakin membesar semata-mata menampung bilangan pelajarnya yang semakin ramai. Mudah-mudahan dengan membesarnya fizikal, akan semakin megahlah Dang Anum dengan kejayaan dan kecemerlangan.

        Mudah-mudahan juga, Dang Anum akan semakin berkobar semangat dalam usaha mendidik dan membimbing anak-anak didiknya dan seterusnya menunaikan aspirasi masyarakat dan wawasan pendidikan dan negara, khususnya. Inya Allah.

Selamat  Maju Jaya Dang Anum.